Monday, October 29, 2012

Ahmed dan Sungai Gemilang



                Usai solat Subuh, Ahmed bergegas ke Sungai Gemilang untuk mengangkut air. Tempayan di rumahnya perlu di penuhkan bagi menyenangkan kerja ibunya untuk  memasak dan membasuh pinggan mangkuk. Dia juga perlu memenuhkan kolah air di bilik air kerana ayahnya sudah tidak dapat berjalan setelah mengalami kemalangan motosikal ketika pulang dari menyemai benih padi setahun lalu. Setelah siap tugasannya, dia mengambil peluang untuk mandi di situ sambil menemani dua orang kakaknya membasuh pakaian. Ahmed sangat suka dan gemar bermain di Sungai Gemilang kerana airnya sangat nyaman.

                Setelah bersarapan secawan kopi dan sekeping biskut kering Ahmed bersiap sedia menunggu adiknya untuk ke sekolah. Sekali lagi Ahmed menyaksikan kejernihan Sungai Gemilang di bawah titi yang dilaluinya untuk ke sekolah. Sungai Gemilang penuh dengan jasa dan budinya. Kala ini Sungai Gemilang mengalami zaman kegemilangannya seperti namanya. Kejernihan airnya mampu memperlihat ikan-ikan berenang-renang dengan riang sekali. Di kelas Ahmed memberikan tumpuan kepada guru kelas yang menceritakan sejarah Sungai Gemilang di hadapan kelas. Teruja sekali Ahmed mendengarnya. Benaknya membayangkan Sungai Gemilang yang setia itu sambil mendengar cerita gurunya. Ahmed berjanji pada diri untuk menjaga kegemilangan sungai tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

                Loceng masa terakhir sekolah berbunyi, bergegas Ahmed mendapatkan gereknya. Ahmed menunggu adiknya di pintu masuk utama sekolah. Secepat mungkin Ahmed mengayuh gereknya. Dia tahu pasti dua orang kakaknya telah menunggu mereka di rumah. Sesampainya di rumah Ahmed terus menyimpan beg sekolah dan menukar baju. Dia meluru ke dapur dan mengambil nasi berlauk ikan sepat goreng untuk ayahnya. Ayahnya hanya mahu makan jika Ahmed sahaja yang memberi makanan tersebut.  
“Ahmed, maafkan ayah kerana selalu menyusahkan kamu sahaja”, ujar ayahnya. “ Takpa ayah, bukan susah sangat pun. Ayah petang ni cek nak pi menjala ikan dengan adik boleh?” tanya Ahmed. “ Baiklah, tapi hati-hati ya” jawab ayahnya.

                Sedang Ahmed dan adiknya seronok menjala ikan, deruman enjin lori yang berhenti di tepi Sungai Gemilang itu mengganggu keseronokan mereka. Beberapa orang lelaki berbadan tegap mengangkat tong-tong besar lalu mengalirkan cairan yang berwarna hitam ke dalam Sungai Gemilang. Mereka berdua tidak berani berkutik selepas lelaki bermisai lentik seperti Sarjan Misai dalam siri Gerak Khas memberi amaran. Selepas lori tersebut bergerak mereka terus berlari mendapatkan ayah mereka di rumah. Ahmed menceritakan kejadian tersebut kepada ayahnya.

“ Biarla Ahmed, nanti mereka apa-apa kan kita susah, Kita bukan orang senang, takdak orang nak dengar aduan kita” jawab ayah. Ahmed akur dengan jawapan ayahnya. Namun hatinya terguris mengenangkan Sungai Gemilang di nodai.

                Suatu petang nan indah, Ahmed mengayuh gereknya menuju ke hujung kampung. Kayuhannya terhenti bukan kerana dia sudah letih tetapi kelihatan jentera-jentera berwarna kuning dan besar sedang menolak pokok-pokok di situ. Tiba-tiba hujan lebat turun. Ahmed mengayuh gereknya sekuat hati untuk sampai ke rumahnya. Hujan lebat turun selama beberapa hari, Ahmed tidak dapat ke sekolah mahupun menjala ikan.

“Mak, Ahmed nak kayuh gerek pi hujung kampung boleh?” tanya Ahmed kepada ibunya. “ Boleh, tapi balik awal ya. Nanti tolong belikan mak gula sekilo kat kedai Pak Mat ya”. “Baik, mak” jawab Ahmed.
Hujan telah berhenti, Ahmed bertekad untuk melihat jentera kuning yang telah berada di kampungnya semenjak sebulan yang lalu. Ahmed mengetahui maklumat ini dari Pak Mat semasa singgah membeli gula tadi. Tatkala sampai di sana, Sungai Gemilang kelihatan keruh. Tanah di tebing sungai mengalami hakisan. Tiada pokok untuk mencengkam tanah lagi, semua habis di tolak oleh gergasi berwarna kuning itu.
Dari hari ke hari Sungai Gemilang mengalami perubahan yang mendadak. Begitu juga Ahmed yang semakin dewasa. Dia sangat mencintai Sungai Gemilang, namun semakin hari sungai kesayangannya itu mengalir lesu. Pembangunan yang pesat telah menyebabkan Sungai Gemilang di penuhi sampah sarap. Biarpun penghuni bangunan putih tinggi tersebut berpakaian kemas ke tempat kerja, namun mereka tega membuang sisa –sisa makanan, sampah-sarap serta bahan terpakai ke dada Sungai Gemilang.

Tiada lagi ikan-ikan berenang dengan riangnya di situ. Penduduk kampung juga tidak dapat menjala lagi. Sungai Gemilang lesu dan tohor. Alirannya perlahan dari hilir menuju ke hulu sungai. Kanak-kanak tidak dibenarkan lagi mandi-manda atau anak-anak gadis tiada lagi yang membasuh pakaian di tepi sungai. Bimbang badan menjadi gatal seperti yang diperkatakan di televisyen.       
Ahmed tidak lagi mengangkut air Sungai Gemilang untuk kegunaan ibunya. Semua penduduk kampung tidak gembira dengan perubahan ini. Kemanisan air Sungai Gemilang sudah tercemar, langsung tidak boleh dibuat minum atau masak. Walaupun kini air paip sampai ke pintu mereka, namun air Sungai Gemilang tetap menjadi pilihan. Ahmed menginjak remaja seperti Sungai Gemilang yang keremajaannya di renggut oleh arus kemodenan. Kecekalan Ahmed untuk membela Sungai Gemilang tidak pernah luntur. Janjinya untuk menjaga Sungai Gemilang masih utuh.

Kini, Ahmed berada di tingkatan tiga. Dia berazam untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan  Penilaian Menegah Rendah. Dia teringin untuk memasuki Sekolah Sains Syed Putra di Perlis.  Menurut abang seniornya dia boleh mencapai cita-citanya jika dapat memasuki sekolah tersebut. Ahmed tidak pernah alpa untuk mengulangkaji serta membuat latih tubi. Walaupun begitu dia tidak pernah lupa untuk menjenguk Sungai Gemilang. Pada hematnya Sungai Gemilang masih boleh di selamatkan.
Walaupun pelbagai iklan mengenai penjagaan alam sekitar di siarkan di televisyen, namun penghuni di bangunan tinggi tersebut masih juga membuang lampin bayi pakai buang, dan botol-botol plastik  kosong ke dalam Sungai Gemilang. Kilang racun di hilir kampung juga semakin hari semakin berani membuang sisa bahan toksid ke dalam sungai. Pembinaan rumah kediaman juga semakin meningkat menjadikan kawasan hujung kampung kelihatan gondol dek ketiadaan pokok-pokok.

Keputusan Penilaian Menengah Rendah telah di umumkan. Ahmed menjadi pelajar cemerlang di kampungnya. Lebar senyuman Ahmed melihat keputusannya. Cerah masa hadapannya untuk menjejakkan kaki ke sekolah idamannya. Ketika Ahmed mendongak ke atas, kelihatan langit membiru, awan seputih kapas, dan mentari tersenyum kepadanya. Ahmed berharap ini merupakan langkah yang akan membawa dia terus melangkah ke hadapan bagi membela Sungai Gemilang.

“ Sungai Gemilang aku harap engkau bersabar. Akan aku tunaikan janjiku padamu”, jerit Ahmed sambil melihat aliran lesu itu.

p/s: hasil karya ku untuk subjek Method Teaching 1. 

Monday, September 3, 2012

Seorang Manusia

Hari-hari mengutip dosa
Dosa kering
Mengumpat
Mengeji
Mencela
Apa sudah tiada kerja lain
Mungkin kau terlalu lapang
Mengapa kelapangan tidak di isi dengan berfaedah

Kau manusia rugi
Rugi segalanya
Masa
Umur
Tenaga

Kasihan kau
Terlalu taksub dengan dunia

Jangan menjadi manusia cela
Jangan menjadi manusia alpa

Lihatlah dirimu
Lihat dengan teliti
Muhasabah itu perlu
Bertaubatlah
Mohonlah kemaafan

Thursday, November 10, 2011

::Penat::

Letih, Lesu
Saban hari aku kian penat
Lelah menelusuri jalan berliku
Aku mencari arah tatkala berada di persimpangan
Namun aku tak ketemui arah yang benar itu

Hati ini meruntun memilih yang kiri
Namun akal yang waras menetapkan pilihan kanan
Semakin resah jadinya aku
Melingas ke sana sini
Namun tiada ketemu juga
Si dia sang pembimbing

Kapan aku ketemu si pembimbing
Hati sering gundah
Terkadang remuk redam
Seakan mahunya aku
Memiliki hati baru yang bersih

Setiap sujudku
Pada Ya Rabb aku meminta
Barang sekelumit kekuatan
Buat aku jadikan bekalan
Selama menempuh onak berduri dunia

Semoga penat
Semoga lelah
Bakal terseingkir
Sedikit masa lagi


p/s: Semoga Allah mempermudahkan segala urusan hambaNYA yang hina dina ini

Thursday, November 3, 2011

::Wajah kekasih::

Saban hari aku merindui mu
Wajah kekasih hati
Wajah yang sentiasa hadir di sudut hatiku
Aku ingin selalu bersamamu

Dihujung doaku
Aku bermohon semoga dirimu
Sentiasa di payungi rahmatNYA
Sentiasa di berkatiNYA

Wajah yang semakin hari
Semakin kelihatn kedutannya
Namun di sebalin wajah itu
Penuh rasa kasih dan sayang
Penuh rahsia kehidupan

Tiap kali aku merinduimu
Manik jernih tanpa segan silu mengalir
Tanda aku sangat menyayangimu

Ayah bonda
Tidak ku tahu arah tujuku
Andai dirimu 
Tiada di sisi

Hanya doamu
Yang aku idamkan
Semoga ia menjadi 
Penguat
Peneman 
Anakmu yang jauh 

Saturday, October 8, 2011

::1000 rasa ::


Melihat mereka berpakaian indah
Jubah berona biru pirus
Berhias molek
Ada calitan rona merah jambu di bibir mungil
Ada juga sapuan bedak nipis
Agar wajah lebih berseri
Seperti berbunganya hati mereka saat ini

Berdebar rasa hati itu
Ku kira mereka cukup berdebar
Menunggu nama di umum
Tangan sepertinya sejuk
Membayangkan segala penat lelah terbalas
Segulung ijazah idaman kalbu

Melangkah mereka penuh ayu dan yakin
Terpamer segaris senyuman luar biasa 
Semakin melebar senyum itu
Tatkala segulung ijazah itu dalam genggaman
Erat pegangngannya
Seolah takut jatuh ia

Usai acara di dewan
Merakan kenangan bersama keluarga
rakan sahabat handai
seperti suatu kemestian
Sebuah memori yang bakal
Terpahat kukuh di dada

Rasa gembira
Rasa sedih
Rasa bersyukur
Rasa lega
Seribu rasa
Terlukis jelas pada wajah ceria mereka

Ucapan selamat
Tak putus di terima
Kerana hari itu kepunyaan mereka 
Tahniah!



p/s:
Khas buat teman-teman dan adik ku yang akan berkonvo Oktober ini. Tahniah di ucapkan!

Sunday, July 3, 2011

:::Kekasih Hati:::

Usai solat
Seorang hamba kerdil
Menadah tangan menyeru nama Penciptanya
Penuh syahdu suaranya
Insan kerdil itu
Menitiskan air mata
Mohon Penciptanya mengampun segala dosanya
Teresak-esak dia mengadu

Ku lihat lagi
Insan itu berbicara dengan Kekasihnya
Ucapan kata rindu
Tak lekang dari bibir mugilnya itu
Insan itu berharap mendapat cinta sang Kekasih
Bersungguh-sungguh dia mengucap kata cintanya

Lewat doanya terkandung
Bicara seorang hamba yang sangat merendah
Tidak sekali dia merasa megah di hadapan Kekasih yang dicintainya
Pujian yang bukan di buat-buat
Tapi kata yang terbit ikhlas tulus
Dari sekeping hati yang luhur

Kuping ku mendengar
Di akhir bicara sang hamba dan sang Kekasih
Hamba itu memohon
Agar dia tidak lalai dari merindui kekasih hati
Agar bibirnya tidak lupa bertasbih kepadaNYA
Agar dia di bawah lembayung ILAHI

:::Rasa Itu::

Tanpa ku duga
Kenangan lalu masih melekat di benak ku
Ke mana pun aku berlari
Kisah dia dan aku
Masih segar di ingatan

“Kata orang kalau sayang tinggal-tinggalkan. Namun penantian ini sudah terlalu lama”

Sudah puas aku mencari
Namun belum ketemu ubatnya
Pada dia sahaja aku sandarkan rasa itu

Hati harap di kau tabah
Jika dia bukan milikmu
Relakan lah dia pemergian dia
Seperti kau  membenarkan dia bertakhta di hati

Tidak aku mengucapkan selamat tinggal
Kerana rasa itu takkan pernah pudar
Walau sekelumit
Diri mu masih bersemadi di penjuru hati ini
Usah kau ragui rasa ku kepada mu

“Andai kau menjadi puisi, biar aku jadi melodi, bersama kita menyanyi”

Bukan mengharap pada yang tidak pasti
Entah mengapa
Aku begitu yakin dengan rasa ini
Hanya pada yang Maha Penyanyan dan Pemurah
Aku panjatkan sekalung doa untuk kau dan aku
Semoga payung redha itu bersama kita

Bermohon lah kepada Allah, semoga segala gundah gulana itu berlalu”